Punca dan Langkah Mengatasi Kenaikan Harga Barang

Soalan Kenaikan Harga Barang

Kenaikan harga barang semakin membebankan rakyat. Kerajaan perlu mengambil inisiatif untuk membendung kenaikan harga barang. Huraikan.

Format jawapan : 3+2

Punca dan langkah mengatasi kenaikan harga barang

Punca dan Langkah Mengatasi Kenaikan Harga Barang

Kenaikan harga barang semakin membebankan rakyat. Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan berlakunya kenaikan harga barang. Oleh itu, kerajaan perlu mengambil inisiatif untuk membendung kenaikan harga barang.

Punca Kenaikan Harga Barang

1. Kenaikan Harga Minyak

Antara punca berlakunya kenaikan harga barang ialah kenaikan harga minyak. Minyak seperti petrol dan diesel merupakan bahan keperluan untuk menggerakkan mesin dan jentera di kilang untuk proses pengeluaran barang. Minyak juga sangat penting dalam pengangkutan barang. Apabila berlaku kenaikan harga minyak, maka kos pengeluaran dan pengangkutan juga akan turut meningkat. Hal ini menyebabkan margin keuntungan pengeluar akan berkurang. Oleh itu, pengeluar terpaksa menaikkan harga barang untuk mendapatkan keuntungan yang maksimum.

2. Kelemahan Penguatkuasaan Undang-undang

Selain itu, kenaikan harga barang juga disebabkan oleh kelemahan penguatkuasaan undang-undang. Hal ini disebabkan oleh kurangnya anggota penguatkuasa. Keadaan ini menyebabkan kerja-kerja pemantauan di permis-permis perniagaan tidak dapat dilakukan. Oleh itu, terdapat peniaga yang sesuka hati menaikkan harga barang. Terdapat juga peniaga yang melakukan kegiatan menyorokkan barang untuk tujuan menaikkan harga barang.

3. Sikap Peniaga atau Pengeluar yang Mementingkan Keuntungan

Di samping itu, kenaikan harga barang juga berpunca daripada sikap peniaga atau pengeluar yang mementingkan keuntungan. Hal ini biasanya berlaku pada musim perayaan, di mana terdapat peniaga yang dengan sengaja menaikkan harga barang makanan seperti daging, ayam, sayur dan telur. Selain itu, terdapat juga pengeluar yang sengaja mengurangkan pengeluaran sesuatu barang untuk tujuan menaikkan harga barang tersebut. Peniaga yang tidak bertanggungjawab juga seringkali menyorokkan barang kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung supaya harga barang tersebut boleh dinaikkan.

Langkah Mengatasi Kenaikan Harga Barang

4. Memperkasakan Penguatkuasaan Undang-undang

Langkah yang boleh diambil oleh kerajaan bagi membendung kenaikan harga barang adalah memperkasakan penguatkuasaan undang-undang. Anggota penguatkuasa perlu ditambah supaya pemantauan menyeluruh terhadap harga barang dapat dilakukan. Peniaga juga perlu diwajibkan untuk meletakkan tanda harga pada setiap barang yang dijual. Sesiapa peniaga yang didapati tidak meletakkan tanda harga pada barang yang dijual perlu dikenakan denda. Peniaga juga tidak dibenarkan meletakkan harga barang di atas harga yang dibenarkan oleh kerajaan. Sesiapa yang ingkar perlu dikenakan hukuman yang setimpal.

5. Memberi Subsidi kepada Pengeluar Barang

Pihak kerajaan juga boleh mengambil langkah dengan memberikan subsidi kepada pengeluar barang untuk membendung kenaikan harga barang. Hal ini bertujuan untuk mengurangkan kos pengeluaran pengeluar tersebut. Sebagai contoh, kerajaan boleh memberikan subsidi kepada pengeluar barang makanan. Hal ini akan menyebabkan pengeluar tersebut akan menjual barang yang dikeluarkan dengan harga yang lebih murah. Pemberian subsidi kepada minyak juga akan membendung kenaikan harga barang secara tidak langsung kerana kos pengangkutan barang akan berkurang. Dengan ini, kenaikan harga barang dapat dibendung.

Penutup Karangan Kenaikan Harga Barang

Kesimpulannya, terdapat pelbagai punca dan langkah yang boleh diambil oleh kerajaan untuk membendung kenaikan harga barang. Masalah ini perlu diatasi bagi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Sumber :