Fungsi Garisan di Cermin Belakang Kereta

Fungsi Garisan di Cermin Belakang Kereta - Setiap spesifikasi yang ada pada kenderaan mempunyai fungsinya yang tersendiri termasuk bentuk aerodinamik yang ada pada setiap kenderaan. Untuk pengetahuan semua, bentuk yang ada pada setiap kenderaan dikenali sebagai bentuk aerodinamik. Bentuk aerodinamik ini dapat mengurangkan rintangan udara dan air ketika hujan. Hal ini akan membolehkan kenderaan memecut dengan lebih mudah. Sebab inilah kenderaan yang digunakan untuk sukan lumba seperti sport car ataupun super car mempunyai bentuk yang lebih aerodinamik berbanding dengan kenderaan biasa. 

Mungkin ada di antara anda semua yang sudah lama menggunakan kereta tetapi masih belum mengetahui fungsi-fungsi yang ada pada setiap spesifikasi kenderaan. Kadang-kadang kita cuma menganggapnya sebagai salah satu aksesori kenderaan untuk menampakkan kenderaan lebih cantik dan menarik tetapi sebaliknya ia mempunyai fungsinya yang tersendiri. Misalnya, kita selalu melihat kenderaan yang mempunyai jalur-jalur di bahagian cermin belakangnya.

Fungsi garisan di cermin belakang kereta
 Garisan-garisan di cermin belakang kereta dikenali sebagai "defogger".

Apakah sebenarnya fungsi jalur-jalur tersebut? Jalur-jalur di bahagian cermin belakang kenderaan ini dikenali sebagai "defoggers" yang dicipta khas untuk mengelakkan cermin belakang daripada kabur akibat daripada kelembapan. Defoggers ini sebenarnya merupakan jalur filamen elektrik yang boleh menghasilkan haba apabila diaktifkan oleh pemandu sekiranya cermin kabur pada waktu hujan ataupun berkabus. 

Butang untuk mengaktifkan defoggers
Butang khas dengan ikon berbentuk segi empat tepat yang mempunyai tiga anak panah beralun.

Untuk mengaktifkan dan mematikan eleman pemanasan tersebut, satu butang khas yang mempunyai ikon segi empat tepat dengan tiga anak panah yang beralun perlu ditekan oleh pemandu. Maksudnya di sini, apabila cermin belakang anda kelihatan kabur kerana kelembapan, anda perlu menekan butang khas untuk mengaktifkan fungsi defoggers ini dan perlu mematikan fungsi defoggers ini apabila cermin belakang kereta sudah cerah semula. 


Untuk pengetahuan semua, sebenarnya cermin hadapan kereta juga dilengkapi dengan defoggers ini. Namun, ia bukan dalam bentuk jalur garisan tetapi dalam bentuk lubang pada bahagian bawah cermin kerana garisan tersebut akan menghalang pandangan semasa memandu. 

Jalur filamen elektrik ataupun "defoggers" ini sangat penting untuk kenderaan yang sedang berada di kawasan beriklim sejuk. Hal ini penting untuk memastikan pemandu boleh melihat dengan jelas di kawasan hadapan dan belakang kenderaan. Boleh disimpulkan di sini bahawa, tujuan utama "defoggers" ini dicipta pada kenderaan adalah untuk tujuan keselamatan.


Setakat ini sahaja perkongsian saya untuk kali ini. Semoga bermanfaat. Sekian, terima kasih.
#AndaManusiaYangHebat