Implikasi Penjajahan Barat terhadap Pentadbiran di Malaysia

IMPLIKASI PENJAJAHAN BARAT TERHADAP PENTADBIRAN DI MALAYSIA 

Implikasi Penjajahan Barat terhadap Pentadbiran di Malaysia

a)    Pengenalan Sistem Demokrasi

Penjajahan Barat di Tanah Melayu dan Borneo telah membawa kepada perubahan dalam sistem pentadbiran di Malaysia, iaitu pengenalan kepada sistem demokrasi oleh penjajah British. Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sebagai ketua Negara. Asas kepada pembentukan pemerintahan demokrasi berparlimen di Malaysia bermula pada tahun 1876, apabila Majlis Perundangan Negeri-Negeri Selat (NNS) ditubuhkan akibat perpindahan pentadbiran Negeri-Negeri Selat (Pulau Pinang, Singapura dan Melaka) dari Syarikat Hindia Timur Inggeris ke Pejabat Kolonial. Majlis perundangan ini merupakan institusi pertama yang mengadakan perbahasan dan perbincangan seperti ciri-ciri parlimen moden. Pada tahun 1909, Majlis Mesyuarat Persekutuan bagi NNMB ditubuhkan dengan pemusatan kuasa perundangan mengikut asas-asas parlimen. Pembentukan Majlis ini merupakan langkah awal ke arah pemerintahan sistem demokrasi berparlimen oleh penjajah British di Tanah Melayu.

Pada tahun 1948, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 telah terbentuk akibat penentangan orang melayu terhadap Malayan Union. Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 ini merupakan langkah penjajah British dalam merangka dasar-dasar asas kerajaan berparlimen. Pada tahun 1955, Majlis Perundangan Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 telah dibubarkan bagi membolehkan kerajaan mengadakan pilihan raya umum buat pertama kali yang bertujuan untuk memilih ahli-ahli yang mewakili rakyat di Majlis Perundangan Persekutuan. Pada bulan Julai 1955, pilihan raya yang pertama kali di Tanah Melayu telah diadakan yang menyaksikan Parti Perikatan memenangi hampir keseluruhan kerusi iaitu, 51 daripada 52 buah kerusi di Majlis Perundangan Persekutuan. Hal ini adalah peristiwa penting dalam proses demokrasi di Malaysia. Kemenangan Parti Perikatan pada bulan Julai 1955 menyebabkan Tunku Abdul Rahman Putra dilantik sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dan membentuk Jemaah Menteri atau kabinet yang pertama di Tanah Melayu. Pada tahun 1957, satu perlembagaan bagi Tanah Melayu telah digubal oleh pakar undang-undang dari beberapa buah negara Komanwel yang diketuai oleh Lord Reid. Pada 31 Ogos 1957, pengisytiharan kemerdekaan bagi Tanah Melayu telah dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman Putra sebagai perdana menteri di Stadium Merdeka. Pada bulan Jun 1959, Majlis Perundangan Persekutuan yang berfungsi sebagai sebuah Dewan Parlimen telah dibubarkan dan menyebabkan satu pilihan raya umum telah diadakan. Pembuburan Majlis Perundangan Persekutuan ini juga membawa kepada pembentukan sistem Parlimen dua dewan yang terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Dalam sistem Demokrasi Berparlimen yang diamalkan di Malaysia, Parlimen merupakan institusi perundangan tertinggi di dalam negara yang menggubal undang-undang. Parlimen Malaysia terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Semenjak pilihan raya umum pada tahun 1959, negara kita mengamalkan kaedah demokrasi dalam menentukan kerajaan di peringkat pusat dan negeri setiap lima tahun sekali. Kaedah ini juga digunakan dalam pemilihan pimpinan dalam setiap parti politik, persatuan atau pertubuhan. Jika kita lihat secara mendalam, sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan sekarang merupakan sistem demokrasi yang berpandukan kepada model Westminster kesan daripada penjajahan British di Tanah Melayu. Westminster merupakan parlimen orang Inggeris yang mana ia digunakan untuk membahaskan masalah rakyat Inggeris dan bertindak sebagai badan perundangan di Britain sejak berkurun-kurun lamanya. Jelaslah bahawa, penjajahan British meninggalkan sistem Demokrasi Berparlimen ala Westminster di Malaysia walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

 

b)    Doktrin Pengasingan Kuasa

Penjajahan Barat di Tanah Melayu dan Borneo telah membentuk sistem pentadbiran di Malaysia, iaitu sistem pengasingan kuasa. Doktrin pengasingan kuasa telah dibawa oleh penjajah Barat ke Tanah Melayu. Sebelum sistem pengasingan kuasa ini, Tanah Melayu mengamalkan sistem feudalisme. Dalam sistem feudalisme, raja adalah berkuasa mutlak yang mana kuasa pentadbiran, perundangan dan kehakiman berada di tangan raja atau sultan. Dalam hal pemerintahan dan pentadbiran, raja merupakan ketua pemerintah tertinggi dalam sesebuah kerajaan atau negeri. Raja berhak melantik pembesar di peringkat pusat, daerah dan kampung bagi membantu baginda dalam pentadbiran. Dalam hal perundangan pula, raja berperanan dalam mengubal dan mengesahkan undang-undang serta dasar sesebuah kerajaan bagi memastikan keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat. Selain itu, undang-undang yang digubal ini juga bertujuan untuk memastikan kuasa dan kedudukan raja dapat dipertahankan daripada dicabar oleh mana-mana pihak. Dalam hal kehakiman pula, raja menjadi ketua hakim bagi sesebuah kerajaan atau negeri di mana, raja mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman dan berhak memberikan pengampunan.

Namun begitu, selepas kedatangan British ke Tanah Melayu pada tahun 1874, segalanya berubah. Pihak British telah mengubah struktur pentadbiran Melayu dengan memisahkan kuasa pentadbiran, kehakiman dan perundangan daripada Sultan. Dalam hal ini, hanya hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja yang berada di bawah kuasa sultan. Konsep pengasingan kuasa yang diperkenalkan oleh British di Tanah Melayu sebenarnya melalui beberapa siri perjanjian yang ditandatangani bersama antara pihak British dengan sultan dan raja di negeri-negeri Melayu. Konsep pengasingan kuasa bermula apabila British berjaya bertapak di Pulau Pinang dan memperkenalkan undang-undangnya yang tersendiri.

Pada tahun 1807, satu undang-undang yang dikenali sebagai Piagam Keadilan yang mengetepikan undang-undang sedia ada di  Pulau Pinang telah dikuatkuasakan oleh penjajah British. Kemudiannya, pada sekitar tahun 1826, British bertapak di Melaka dan Singapura dan memperkenalkan Piagam Keadilan kedua bagi kedua-dua negeri tersebut. Pada tahun 1855, Piagam Keadilan ketiga diperkenalkan di mana undang-undang yang lebih menyeluruh dikuatkuasakan bagi Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Pada tahun 1874 pula, british memperkuatkan pengaruh mereka di Tanah Melayu melalui satu perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Pangkor. Dalam hal ini, British telah mengetepikan agama Islam dalam pengurusan kenegaraan. Raja atau sultan juga tidak lagi berkuasa dalam urusan pemerintahan dan pentadbiran negara yang mana ia telah digantikan oleh Residen British.

Elemen sekularisme juga sudah mula diterapkan dalam sistem prentadbiran negara yang mana ini bermakna fungsi kerajaan dan agama telah dipisahkan. Dari sudut positif, sistem Residen yang diperkenalkan oleh penjajah British di Tanah Melayu adalah baik dalam memberikan tunjuk ajar kepada para pemerintah tempatan dalam urusan pentadbiran yang cekap dan sistematik. Namun begitu, cara penjajah British yang kurang ajar dengan tidak menghormati sultan dan mencampuri urusan adat istiadat Melayu dan agam Islam menyebabkan jawatan Residen British ini mula dipandang serong oleh masyarakat Melayu. Hal ini dibuktikan melalui pembunuhan Residen British,  J.W.W Birch di Perak.

Pihak British sebenarnya berusaha menerapkan sistem pemerintahan dan pentadbiran Barat di Tanah Melayu dengan memperkenalkan doktrin pengasingan kuasa yang mana ia adalah lebih baik dan sistematik menurut mereka. Menurut pandangan sarjana politik barat, doktrin pengasingan kuasa yang diamalkan di sesebuah negara adalah bermatlamatkan untuk meraih kebebasan politik, menjaga keselamatan, menegakkan keadilan dan mengelakkan kezaliman. Pengasingan kuasa ini bertujuan bagi mengelakkan pertindihan kuasa dan penyalahgunaan kuasa oleh pihak pemerintah. British menganggap penerapan doktrin pengasingan kuasa ini adalah yang terbaik bagi sesebuah kerajaan kerana sejarah pemerintahan dan pentadbiran British itu sendiri membuktikan doktrin pengasingan kuasa ini terbaik untuk sistem pentadbiran negara mereka.

Pada hari ini, tidak dapat dinafikan bahawa kita tetap menggunakan sistem pengasingan kuasa hasil daripada tinggalan penjajahan British ini. Namun begitu, Malaysia tidak mencetak bulat-bulat bentuk tersebut tetapi diubah suai mengikut kesesuaian rakyat di Malaysia. Sistem pengasingan kuasa yang diamalkan oleh Malaysia pada hari ini adalah berbeza sedikit dengan konsep pengasingan kuasa yang diperkenalkan oleh British di mana terdapat penggabungan kuasa dalam badan pentadbiran dan perundangan, manakala badan keadilan pula berdiri sendiri tanpa campur tangan daripada badan pentadbiran dan perundangan. Walau bagaimanapun, Malaysia tetap mewarisi ciri-ciri tinggalan penjajah Barat iaitu, pengasingan kuasa sehingga ke hari ini.

 

c)    Persekutuan (Federalisme)

Sistem kerajaan persekutuan yang Malaysia amalkan hari ini sebenarnya merupakan salah satu bentuk pentadbiran yang ditinggalkan oleh penjajah Barat di Malaysia. Pentadbiran berbentuk persekutuan ini sebenarnya sudah mula diperkenalkan oleh British di Tanah Melayu sejak tahun 1896 lagi, apabila British menggabungkan Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang dalam Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB).

Perkembangan ini merupakan langkah awal pembentukan satu sistem kerajaan persekutuan bagi seluruh negara seperti yang ada sekarang. Namun begitu, usaha berterusan penjajah British bagi memasukkan negeri-negeri lain ke dalam persekutuan ini gagal sehinggalah British menemui celah semasa penjajah Jepun di Tanah Melayu untuk memaksakan penjajahannya melalui Malayan Union pada tahun 1946. Sekali lagi, rancangan penjajah British ini gagal kerana menerima tentangan hebat daripada orang Melayu dan bekas pegawai British di Tanah Melayu sehinggalah terbentuk Persekutuan Tanah Melayu tanpa Singapura pada tahun 1948. Bentuk kerajaan persekutuan ini merupakan bentuk kerajaan yang telah dicadangkan oleh Suruhanjaya Reid.

Menurut Shaikh Mohd Noor Alam, persekutuan dipilih di Malaysia atas sebab-sebab fakta sejarah yang menghasilkan institusi persekutuan yang tidak dapat diketepikan atau dimansuhkan. Persekutuan Tanah Melayu ini diperkukuh lagi apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Pada tahun 1963 pula, atas dorongan yang kuat daripada Britain, persekutuan yang lebih besar, iaitu Malaysia terbentuk yang melibatkan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Brunei yang pada asalnya menunjukkan minat untuk menyertai Malaysia tetapi telah menarik diri pada saat akhir, Singapura pula terpaksa keluar setelah dua tahun pembentukan Malaysia atas faktor perbezaan politik dan sosiobudaya.

Berdasarkan bukti ini ditambah dengan pembahagian dua peringkat kerajaan di Malaysia iaitu, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri menguatkan lagi fakta bahawa Malaysia mengamalkan kerajaan jenis persekutuan hasil daripada warisan jajahan British di Tanah Melayu. Prinsip asas dalam persekutuan adalah bersifat duality atau dua jenis pemerintahan, iaitu kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

Di Malaysia, pusat pentadbiran dan pemerintahan Kerajaan Persekutuan terletak di Putrajaya dengan ketua negara ialah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Kerajaan persekutuan pula diketuai oleh perdana menteri yang dibantu oleh barisan kabinet. Di peringkat kerajaan negeri pula, ketua negeri ialah sultan atau raja bagi negeri beraja dan dibantu oleh menteri besar. Bagi negeri tidak beraja pula seperti negeri Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Melaka, ketua negeri ialah Yang di-Pertuan Negeri dan ketua kerajaan negeri dikenali sebagai ketua menteri untuk semua negeri tidak beraja kecuali Sarawak yang ketua kerajaan negerinya dikenali sebagai Premier. Perkembangan sistem persekutuan ini telah menjadi asas penting dalam pentadbiran moden di Tanah Melayu, khususnya dari segi mekanisme pentadbiran yang mewujudkan jentera pentadbiran yang terdiri daripada pelbagai jawatan mengikut bidang seperti pentadbiran, pendidikan, perubatan, kerja raya, kereta api, elektrik, parit dan saliran, perhutanan dan sebagainya.

 

d)    Raja Berperlembagaan

Pada zaman sebelum kedatangan penjajah British ke Tanah Melayu pada tahun 1874, raja mempunyai kuasa mutlak di mana raja mempunyai kuasa sepenuhnya untuk memerintah dan mentadbir kerajaannya. Maknanya, kuasa raja pada ketika ini adalah tidak terhad. Raja mempunyai sepenuhnya kuasa dalam hal pentadbiran, perundangan, kehakiman, ketenteraan, hal ehwal agama, adat istiadat Melayu sehinggalah ke hal-hal yang berkaitan dengan perhubungan luar. Namun begitu, selepas kedatangan penjajah British ke Tanah Melayu, kuasa raja ini diambil oleh Residen British apabila penjajah British memperkenalkan sistem Residen di Tanah Melayu.

British hanya mengekalkan kuasa agama dan adat istiadat Melayu di bawah sultan. Sehingga ke hari ini, kuasa raja dihadkan oleh perlembagaan persekutuan seperti mana yang diamalkan oleh Malaysia. Sistem yang mengehadkan kuasa raja dengan perlembagaan ini dikenali sebagai Sistem Raja Berperlembagaan yang mana ia bermakna raja menjalankan kuasa pemerintahannya berdasarkan undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Hal ini dilakukan bagi memastikan raja tidak menggunakan kuasanya sesuka hati tanpa mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Dalam hal ini, kuasa pemerintahan yang sepatutnya berada di tangan raja diwakilkan kepada badan eksekutif. Di Malaysia, badan eksekutif diketuai oleh perdana menteri dengan dibantu oleh menteri-menteri kabinet yang lain. Dalam Perlembagaan Persekutuan juga, Yang di-Pertuan Agong mesti bertindak atas nasihat perdana menteri. Hal ini sama seperti pada zaman penjajahan British apabila sistem Residen diperkenalkan oleh British di mana residen berperanan secara “De Jure” menasihati sultan yang memerintah dalam urusan pentadbiran. Sultan pula haruslah bertindak mengikut nasihat daripada Residen British dal hal ehwal pentadbiran kecuali yang berkaitan dengan adat resam dan agama Islam.

Walaupun kuasa eksekutif, perundangan dan kehakiman ini tidak dipegang sepenuhnya oleh raja atau sultan dalam sistem Raja Berperlembagaan, namun raja bertindak sebagai ketua agama Islam dan adat istiadat orang Melayu. Menurut Veron Bogdanor pada tahun 1997, konsep Raja Berperlembagaan merupakan pendekatan yang asalnya adalah bertentangan, iaitu raja yang konservatif, sedangkan Perlembagaan adalah selari dengan amalan demokrasi moden. Pelaksanaan konsep Raja Berperlembagaan antara lainya untuk mengabsahkan kedudukan monarki dalam konteks demokrasi.  

Kejayaan Britain dalam menginstitusikan monarki dalam kerangka Perlembagaan telah dicontohi oleh majoriti negara-negara bekas jajahannya sebagai mekanisme untuk meneruskan kelangsungan monarki di negara berkenaan.  Hal ini juga turut berlaku di Malaysia yang mana kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan harus bertindak mengikut undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

 

KESIMPULAN

Penjajahan Barat yang berlaku di Tanah Melayu dan Borneo telah meninggalkan kesan dan pengaruh yang sangat besar terhadap kehidupan masyarakat dan pentadbiran di Malaysia. Masyarakat Malaysia masih merasai kesan daripada penjajahan Barat, terutamanya British sehingga ke hari ini. Penjajahan Barat telah meninggalkan kesan yang mendalam terhadap pembangunan infrastruktur moden seperti jalan raya, landasan kereta api, dan pelabuhan yang memberi kemudahan dalam perdagangan dan pengangkutan di Malaysia. Selain itu, sistem pendidikan Barat yang diperkenalkan oleh British juga telah memantapkan lagi sistem pendidikan di Tanah Melayu sehingga muncul tokoh-tokoh yang hebat yang kemudiannya memperjuangkan kemerdekaan untuk Tanah Melayu. Sistem perundangan dan pentadbiran yang diperkenalkan oleh penjajah British di Tanah Melayu dan Borneo juga memberikan asas kepada sistem perundangan Malaysia yang digunakan sehingga ke hari ini. Namun begitu, penjajahan Barat ini juga memberikan impak yang negatif kepada negara kita. Salah satu impak negatif penjajahan Barat ialah penghakisan terhadap budaya tempatan dan pengenalan sistem ekonomi yang bertujuan untuk mengaut hasil bumi di Tanah Melayu dan Borneo. Dasar pecah dan perintah yang dilaksankan oleh British di Tanah Melayu telah menyebabkan ketidakseimbangan dalam struktur sosioekonomi masyarakat. Selain itu, sistem pendidikan Barat yang diperkenalkan oleh penjajah British juga telah sedikit sebanyak menghakis nilai-nilai budaya tempatan dan menyebabkan hilangnya warisan budaya Melayu. Di samping itu, implikasi penjajahan Barat terhadap pentadbiran di Malaysia pula boleh dilihat dalam bentuk sistem politik dan pentadbiran yang diamalkan oleh Malaysia hari ini. Banyak aspek-aspek dalam pentadbiran Malaysia yang merupakan hasil warisan daripada sistem Barat yang telah diperkenalkan oleh penjajah British sebelum kemerdekaan. Meskipun, terdapat aspek positif dari segi pentadbiran, seperti kestabilan politik dan ketelusan dalam sistem perundangan, namun sistem ini juga mempunyai kelemahan seperti gejala rasuah. Perkara ini dapat dilihat daripada tinggalan British di era penjajahan yang membentuk struktur pentadbiran negara. Secara keseluruhan, penjajahan Barat meninggalkan kesan dan pengaruh yang rumit di Tanah Melayu dan Borneo. Ia bukan sahaja memberikan landasan pembangunan yang positif kepada Malaysia, tetapi juga memberikan kesan yang negatif terhadap identiti budaya dan keseimbangan sosioekonomi masyarakat. Sejarah penjajahan Barat ini telah membentuk landskap politik, ekonomi dan sosial di Malaysia. Oleh itu, penting untuk rakyat Malaysia memahaminya bagi perjalanan negara ini ke arah masa depan yang lebih baik.


SUMBER RUJUKAN

Abdul Rahman Haji Ismail. (2007). Malaysia: Sejarah Kenegaraan dan Politik. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ahmad Jaffri Ahmad Zaini & Mohd Samsudin. (2019). Perkembangan Sistem Pentadbiran Persekutuan di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Journal of Social Sciences and Humanities, 16(9): 133-155. Dilayari dari https://ejournal.ukm.my/ebangi/article/viewFile/36295/10024 pada 12 Disember 2023.

Auni Abdullah. (2005). Tradisi Pemerintahan Islam & Kolonialisme Dalam Sejarah Alam Melayu. Kuala Lumpur : Darul Fikir.

Bharuddin & Farizah. (2014). Pengasingan Kuasa Menurut Perspektif Barat Dan Islam : Amalannya di Malaysia, Jurnal Syariah, 22(1) : 21-56. Dilayari dari https://ejournal.um.edu.my/index.php/JS/article/view/8112/5614 pada 11 Disember 2023.

Chamil Wariya. (2004). Kesinambungan dan perubahan : Malaysia di Bawah Pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Chamil Wariya. (2010). Malaysia: Asas Pembinaan Negara Bangsa, Institusi Pemerintahan, Lambang Kebangsaan. Kuala Lumpur : Media Global Matrix.

Mohammad Tawfik Yaakub et.al. 2014. Keutuhan Sistem Monarki Berperlembagaan Manifestasi Kecemerlangan Tamadun Melayu dalam Era Moden. Dilayari dari https://www.academia.edu/en/11300436/Keutuhan_Sistem_Kesultanan_Manifestasi_Kecemerlangan_Melayu_Era_Moden pada 12 Disember 2023.

Nawi Abdullah & Zuriana Zahrin. (2005). Pembahagian Kuasa Fiskal Antara Kerajaan Persekutuan dengan Negeri, 1990-2001, Jurnal Sejarah, 13(13): 175-221. Dilayari dari https://ejournal.um.edu.my/index.php/SEJARAH/article/view/9166/6480 pada 11 Disember 2023.

Portal Rasmi Parlimen Malaysia.  Dilayari dari www.parlimen.gov.my pada 11 Disember 2023.

Zulhilmi Paidi. (2011). Malaysia Pembinaan Negara Bangsa. Kuala Lumpur : Prentice Hall.