Faktor Berlakunya Penyeludupan Barangan

Faktor berlakunya penyeludupan barangan
Penyeludupan Barangan

Isi-isi Penting

  1. Perbezaan Harga Barangan antara Dua Buah Negara yang Berjiran
  2. Faktor Geografi
  3. Kawalan Sempadan yang Lemah
  4. Permintaan yang Tinggi
  5. Undang-undang Kawalan Perdagangan yang Berbeza antara Negara

Apa itu Penyeludupan Barangan?

Penyeludupan barangan merupakan aktiviti atau kegiatan tidak sah yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu membawa barang-barang bercukai dan larangan ke dalam dan keluar dari Malaysia. Perbuatan ini dilakukan secara sembunyi-sembunyi untuk mengelakkan kegiatan haram ini dihidu oleh pihak berkuasa. Kebiasannya, barangan yang diseludup ialah rokok, minuman keras, minyak masak, gula, beras, petrol, disesel, haiwan liar dan sebagainya.

Penyeludupan Barangan yang Melibatkan Malaysia dengan Negara Jiran Kerap Berlaku

Sudah sekian lama isu penyeludupan barangan menjadi bualan masyarakat di negara kita. Kita sering kali melihat berita-berita mengenai penyeludupan barangan di dada-dada akhbar, media arus perdana, media elektronik dan media sosial. 

Sebagai contoh, media-media arus perdana di negara kita seringkali menghidangkan berita mengenai penyeludupan barangan dari Malaysia yang berlaku di sempadan antara Malaysia dengan Thailand. Namun begitu, isu ini sehingga kini belum menemui jalan penyelesaian. 

Penyeludupan barangan merupakan aktiviti membawa masuk barangan bercukai atau larangan secara tidak sah ke dalam atau keluar Malaysia. Kebiasannya, barangan yang diseludup oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini adalah seperti rokok, minyak diesel dan petrol, gula, beras dan minyak masak. 

Isu ini perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana ia akan merugikan negara dari segi pendapatan negara. Hal ini dikatakan demikian kerana, barangan seperti minuman keras dan rokok dikenakan cukai yang tinggi di negara kita. 

Jadi, jika barangan ini diseludup ke dalam Malaysia, maka cukai tidak dapat dikenakan menyebabkan pendapatan negara berkurang. 

Selain itu, barangan bersubsidi seperti minyak masak, gula dan petrol yang diseludup ke luar negara juga akan merugikan negara kerana subsidi yang diberikan itu tidak memberi menfaat kepada rakyat Malaysia. 

Pada realitinya, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan berlakunya penyeludupan barangan.

Faktor Penyeludupan Barangan

1. Perbezaan Harga Barangan antara Dua Buah Negara yang Berjiran

Antara faktor berlakunya penyeludupan barangan ialah perbezaan harga barangan antara dua buah negara yang berjiran. Perbezaan harga barangan ini telah menyebabkan terdapat individu yang tidak bertanggungjawab membawa keluar barangan ini ke negara jiran yang lebih tinggi harganya untuk dijual secara haram. 

Hal ini berlaku kerana individu yang tidak bertanggungjawab ini melihat ada celah untuk mengaut keuntungan. Lazimnya, barangan seperti gula, minyak masak dan petrol yang lebih murah harganya di Malaysia kerana menerima subsidi daripada kerajaan akan diseludup ke negara jiran. 

Dalam hal ini, keuntungan akan diperoleh apabila mereka menjual barangan yang diseludup ini dengan harga yang lebih tinggi berbanding dengan harganya di Malaysia. Sebagai contoh, minyak masak dan petrol yang lebih murah di Malaysia kerana subsidi diseludup ke Thailand. 

Begitu juga dengan harga beras yang lebih rendah di Thailand, telah membawa kepada penyeludupan barang ini ke Malaysia. 

Tegasnya, perbezaan harga barangan antara dua buah negara yang berjiran akan membawa kepada aktiviti penyeludupan barangan.

2. Faktor Geografi

Selain itu, faktor geografi juga menyebabkan penyeludupan barangan berlaku. Keadaan negara kita dengan negara jiran yang bergunung-ganang dan dikelilingi dengan perairan menyebabkan aktiviti penyeludupan barangan ini dengan mudah dijalankan. 

Hal ini dikatakan demikian kerana, faktor geografi yang seperti ini menyebabkan pihak berkuasa di kedua-dua negara sukar untuk mengawal sempadan. 

Oleh itu, penyeludup lebih mudah mencari jalan-jalan tikus untuk membawa barang-barang tertentu secara haram. 

Sebagai contoh, keadaan Malaysia yang dikelilingi dengan perairan menyebabkan barangan seperti rokok dan minuman keras dari Indonesia dengan mudah dibawa masuk ke Malaysia melalui jalan tikus di Sabah dan Sarawak. 

Ditambah lagi, dengan keadaan sempadan yang masih ditutupi dengan hutan belantara. Jelaslah bahawa, faktor geografi yang bergunung-ganang dan dikelilingi dengan perairan menyebabkan aktiviti penyeludupan barangan berlaku.

3. Kawalan Sempadan yang Lemah

Di samping itu, aktiviti penyeludupan barangan juga berlaku disebabkan oleh kawalan sempadan yang lemah. Sempadan yang ditutupi dengan hutan belantara menyebabkan terdapat banyak jalan tikus yang dijadikan sebagai transit untuk menyeludup barangan bercukai dan larangan. 

Sebagai contoh, terdapat banyak jalan tikus di Sabah, Sarawak, Kedah dan Kelantan yang dijadikan sebagai tempat membawa masuk barangan seperti senjata api dan mercun secara haram. 

Hal ini berlaku kerana jumlah penguatkuasa di negara kita kurang, ditambah lagi dengan usangnya teknologi yang digunakan oleh pasukan keselamatan berbanding dengan penyeludup. 

Begitu juga dengan kawalan perairan negara, negara kita tidak mampu mengawal sepenuhnya perairan negara kerana tidak mempunyai teknologi yang memadai dan mencukupi untuk memintas para penyeludup. 

Oleh itu, penyeludupan barangan ini berlaku dengan berleluasa di negara kita. Tegasnya, kawalan sempadan yang lemah menyebabkan aktiviti penyeludupan dengan mudah berlaku di negara kita.

4. Permintaan yang Tinggi

Permintaan yang tinggi terhadap barangan tertentu juga merupakan faktor berlakunya penyeludupan barangan di negara kita. Permintaan yang tinggi dari China terhadap haiwan tertentu yang dipercayai mempunyai nilai perubatan tradisional yang tinggi telah menyebabkan banyak haiwan yang dilindungi diburu untuk diseludup. 

Ditambah dengan gaya pemakanan masyarakat kini yang semakin pelik, telah meningkatkan lagi permintaan terhadap makanan eksotik. Hal ini telah menyebabkan banyak haiwan yang dilindungi diseludup ke negara-negara seperti China dan Thailand yang mempunyai penggemar makanan eksotik yang sangat tinggi. 

Selain itu, permintaan terhadap rokok pada harga rendah oleh pekerja-pekerja dari Indonesia di Malaysia juga menyebabkan penyeludupan rokok keretek berlaku. 

Pada musim-musim perayaan tertentu seperti Hari Raya Haji juga menyebabkan permintaan terhadap haiwan ternakan seperti lembu dan kambing meningkat. Hal ini menyebabkan berlaku upaya menyeludup haiwan ternakan tersebut di utara sempadan Malaysia. 

Begitu juga apabila menjelang Tahun Baharu Cina, terdapat upaya menyeludup mercun dan produk-produk makanan dari China. Jelaslah bahawa, permintaan yang tinggi terhadap barangan tertentu menyebabkan berlakunya penyeludupan barangan.

5. Undang-undang Kawalan Perdagangan yang Berbeza antara Negara

Penyeludupan barangan juga berlaku disebabkan oleh undang-undang kawalan perdagangan yang berbeza antara negara. 

Kebiasaanya, undang-undang perdagangan setiap negara adalah berbeza-beza walaupun bersifat serantau. 

Sebagai contoh, Malaysia melarang eksport kayu balak mentah, iaitu kayu balak yang belum diproses sedangkan terdapat negara ASEAN lain yang membenarkan aktiviti perdagangan tersebut. 

Hal ini telah menyebabkan pembalak yang tidak bertanggungjawab di Malaysia menyeludup kayu balak mentah dari hutan Malaysia melalui sungai ke negara jiran. 

Dalam hal ini, pihak berkuasa dan pasukan keselamatan tidak mampu berbuat apa-apa seperti merampas kayu balak mentah tersebut kerana mereka terikat dengan undang-undang perairan antarabangsa. Undang-undang ini tidak membenarkan mereka merampas barangan yang terdapat di dalam sungai.

Disebabkan terdapat ruang dan peluang, maka para pembalak yang tidak bertanggungjawab akan mengambil kesempatan ini untuk mengaut keuntungan dengan menyeludup kayu balak mentah ke negara jiran yang lebih tinggi harganya, selain untuk mengelak cukai eksport. 

Hal ini juga dilakukan demi memenuhi permintaan yang tinggi di pasaran antarabangsa. Jelaslah bahawa, perbezaan undang-undang mengenai perdagangan antarabangsa menyebabkan penyeludupan barangan berlaku.

Penutup

Kesimpulannya, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan berlakunya penyeludupan barangan antara negara. Hal ini perlu dibendung segera demi kesejahteraan negara. 

Oleh itu, pihak kerajaan perlulah memastikan kawalan sempadan di negara kita dapat dikawal sepenuhnya dengan pembekalan teknologi canggih kepada pasukan keselamatan dan penguatkuasa. 

Dalam hal ini, orang ramai juga boleh melaporkan individu-individu yang terlibat dengan penyeludupan barangan ini kepada pihak berkuasa, jika mereka mengetahui individu yang tidak bertanggungjawab tersebut. 

Hal ini penting bagi memastikan keselamatan negara kita kekal maksimum. Jika ikan kecil pun boleh masuk secara haram ke dalam negara kita, apatah lagi pengganas. 

Semoga isu penyeludupan barangan ini dapat dibendung dengan segera bagi memastikan negara kita tidak rugi dari segi kewangan.