Kesan Negatif Penggunaan Internet
Pengenalan Penggunaan Internet di Malaysia
Pada era globalisasi ini, Internet sangat penting dalam kehidupan masyarakat dunia. Sesiapa sahaja yang tidak tahu menggunakan Internet, maka mereka akan dikatakan ketinggalan zaman ataupun katak di bawah tempurung. Internet telah menjadikan dunia tanpa sempadan di mana ia mampu menjadi rangkaian yang menghubungkan seluruh dunia. Dengan adanya kemudahan Internet, kita boleh mengetahui pelbagai berita di seluruh dunia dengan pantas. Misalnya, kita boleh mengetahui perkembangan semasa yang berlaku di Gaza dan banyak lagi perkembangan-perkembangan semasa lain. Selain itu, kemudahan Internet juga dapat membantu orang ramai menjana pendapatan melalui platform Youtube, perniagaan secara atas talian dan sebagainya. Orang ramai juga dapat melayari Internet bagi tujuan pembelajaran. Hal ini dikatakan demikian kerana, terdapat pelbagai bahan-bahan ilmiah di Internet. Walaupun Internet mempunyai banyak manfaat, namun ia turut membawa kesan negatif kepada masyarakat.
Kesan Negatif Internet Kepada Pengguna
1. Membazir Banyak Masa
Antara kesan negatif penggunaan Internet termasuklah membazir banyak masa. Banyak masa akan dibazirkan sekiranya kita leka melayani keseronokan yang terdapat dalam Internet. Misalnya, semasa kita menggunakan media sosial, kita akan menghabiskan berjam-jam untuk melihat hal-hal yang tidak penting walaupun pada mulanya kita hanya berniat untuk membuka media sosial seperti Facebook sekejap. Selain itu, permainan Video seperti Mobile Legend dan PUBG juga membuatkan kita membuang banyak masa yang berharga walaupun pada asalnya kita hanya bermain untuk melepaskan tekanan. Hal ini berlaku demikian kerana, keseronakkan yang terdapat dalam Internet seperti media sosial dan permainan video mampu memancing dan mempengaruhi otak kita supaya terus bermain dalam tempoh masa yang lama. Jelaslah bahawa Internet akan membazirkan masa sekiranya ia tidak digunakan dengan betul.
2. Merosakkan Akhlak Pengguna
Selain itu, penggunaan Internet juga boleh merosakkan akhlak pengguna khususnya, kanak-kanak. Akhlak kanak-kanak akan rosak sekiranya kanak-kanak menonton video-video pornografi dan bahasa-bahasa kesat dalam media sosial. Hal ini berlaku kerana, tiada sekatan yang khusus terhadap video-video pornografi dalam Internet selain mudah diakses oleh kanak-kanak. Misalnya, terdapat banyak video-video di Facebook dan Youtube yang berunsur lucah. Selain itu, bahasa-bahasa kesat seperti bodoh, sial, mampus dan sebagainya juga sering digunakan dalam media sosial. Penggunaan bahasa-bahasa kesat ini memang dilarang dalam beberapa platform media sosial, namun ia tetap juga masih sukar untuk dikesan oleh sistemnya. Hal ini menyebabkan kanak-kanak bawah umur yang masih sangat mudah menyerap sesuatu yang didengar dan dilihatnya akan rosak akhlaknya disebabkan oleh unsur-unsur negatif ini. Kesannya, kanak-kanak akan menggunakan bahasa-bahasa kesat semasa bercakap dengan ibu bapa, guru dan rakan-rakan mereka. Dalam masa yang sama, kanak-kanak juga akan meniru aksi-aksi lucah dalam video-video yang ditontonnya di Internet. Jelaslah bahawa Internet mampu merosakkan akhlak penggunanya, terutamanya kanak-kanak.
3. Banyak Kerja Tertangguh
Di samping itu, Internet juga boleh menyebabkan banyak kerja yang sepatutnya disiapkan tertangguh. Hal ini dikatakan demikian kerana, pengguna Internet biasanya tidak melayan Internet dalam masa lima atau sepuluh minit, tetapi dalam tempoh masa berjam-jam. Pengguna melayan Internet berjam-berjam kerana mereka terleka dengan keseronokkan yang terdapat dalam Internet seperti permainan video, media sosial dan sebagainya. Biasanya, pengguna Internet akan merasa mereka baru melayan Internet dalam masa beberapa minit, namun realitinya mereka sudah melayan Internet dalam tempoh yang cukup lama. Hal ini menyebabkan kerja-kerja tidak dapat disiapkan. Bagi yang bekerja di pejabat, berkemungkinan mereka akan dibuang kerja kerana produktiviti dan prestasi kerja mereka merosot. Bagi golongan pelajar universiti pula, sudah tentu mereka tidak dapat menyiapkan tugasan seperti kerja kursus mereka dalam tempoh masa yang ditetapkan. Jelaskan, Internet boleh menyebabkan banyak kerja seseorang boleh tertangguh.
4. Kesihatan Mata Terjejas
Selain boleh menyebabkan banyak kerja tertangguh, Internet juga menyebabkan kesihatan mata terjejas. Kesihatan mata akan terjejas sekiranya kita melihat skrin telefon pintar atau komputer terlalu lama. Radiasi daripada skrin telefon pintar dan komputer boleh menyebabkan mata menjadi rabun. Radiasi daripada telefon pintar dan komputer ini telah menyebabkan ramai golongan remaja kini yang berkaca mata, malah tidak kalah juga golongan kanak-kanak yang telah menjadi rabun. Hal ini dikatakan demikian kerana, mereka terlalu ketagih bermain permainan video dan media sosial sehingga berjam-jam mata mereka terdedah kepada radiasi daripada skrin gadjet-gadjet tersebut. Jelaslah bahawa, Internet melalui radiasi daripada gadjet-gadjet yang digunakan untuk melayari Internet boleh menyebabkan kesihatan mata terganggu.
5. Hubungan Kekeluarga Menjadi Renggang
Penggunaan Internet juga boleh menyebabkan hubungan kekeluargaan menjadi renggang. Hubungan kekeluargaan ini menjadi renggang apabila terdapat ahli keluarga yang terlalu leka menggunakan Internet sehingga jarang bertemu walaupun duduk serumah. Masa-masa yang sepatutnya digunakan bersama keluarga ini dihabiskan dengan bermain permainan video dan media sosial. Hal ini menyebabkan ahli keluarga yang bersikap begitu akan jarang bercakap dengan keluarga bahkan, masa makan bersama keluarga juga mereka tidak turut serta. Mereka akan berkurung di bilik sepanjang hari. Mereka juga akan meninggikan suara sekiranya mereka disuruh oleh ibu bapa untuk membuat kerja rumah. Kadang-kadang juga berlaku pertengkaran antara adik-beradik sekiranya terdapat adik-beradik mereka yang mengganggu mereka semasa bermain permainan video. Jelaslah bahawa, penggunaan Internet yang berlebihan akan merenggangkan hubungan kekeluargaan.
Penutup
Kesimpulannya, terdapat pelbagai kesan negatif penggunaan Internet dalam kalangan kepada masyarakat. Internet ini sebenarnya tidak membawa mudarat sekiranya ia digunakan dengan betul dan terkawal. Namun, maudarat yang cukup besar akan terjadi jika ia disalahgunakan. Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu untuk memastikan Internet digunakan dengan betul oleh semua lapisan masyarakat di negara ini. Ibu bapa perlu memastikan pengunaan Internet oleh anak-anak dikawal di rumah supaya mereka tidak hanyut di dunia maya. Semoga generasi-generasi muda di negara ini dapat menggunakan Internet secara optimum dan tidak membawa kemudaratan kepada mereka.