Langkah Mengurangkan Gas Rumah Hijau

Karangan Langkah-langkah Mengurangkan Gas Rumah Hijau  

Pengenalan

Pada era globalisasi ini, isu pemanasan global akibat pelepasan gas rumah hijau semakin membimbangkan. Menurut Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), gas rumah hijau seperti karbon dioksida (CO₂) dan metana (CH₄) merupakan penyumbang utama kepada perubahan iklim yang mengancam keseimbangan ekosistem dunia. Kesannya, negara kita turut mengalami cuaca ekstrem, kenaikan suhu, dan pencairan ais di kutub yang mencemaskan. Isu ini sering diperdebatkan dalam kalangan pemimpin global, namun langkah praktikal di peringkat nasional dan individu masih belum dilaksanakan sepenuhnya. Gas rumah hijau sukar dikawal kerana ia dihasilkan daripada pelbagai aktiviti manusia, termasuk industri, pengangkutan, dan pembakaran hutan. Namun, sebagai masyarakat yang prihatin, terdapat pelbagai langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan kesan negatif ini.   

1. Peralihan kepada Sumber Tenaga Diperbaharui  

Antara langkah utama mengurangkan gas rumah hijau ialah dengan menggantikan bahan api fosil seperti arang batu dan petroleum dengan sumber tenaga diperbaharui. Tenaga suria, angin, dan hidroelektrik merupakan alternatif mesra alam yang mampu mengurangkan pelepasan CO₂. Sabagai contoh, kerajaan Malaysia telah melaksanakan projek besar-besaran seperti Loji Solar Berskala Utiliti (LSS) di Kedah dan Sarawak, serta insentif tarif feed-in (FiT) bagi pengguna panel solar di tempat kediaman untuk menggalakkan penggunaan tenaga hijau. Dengan memanfaatkan cahaya matahari yang melimpah di negara tropika, kita dapat mengurangkan kebergantungan terhadap sumber tenaga konvensional yang mencemarkan alam. Langkah ini bukan sahaja menjimatkan kos jangka panjang tetapi juga menjamin kelestarian tenaga untuk generasi akan datang. 

Loji Solar berskala besar di Kuala Muda Kedah - Contoh Tenaga Diperbaharui di Malaysia
Loji Solar Berskala Besar (LSS) di Kedah - Contoh Tenaga Diperbaharui di Malaysia

2. Meningkatkan Kecekapan Tenaga dalam Semua Sektor  

Selain itu, peningkatan kecekapan tenaga dalam sektor perindustrian, komersial, dan domestik juga mampu mengurangkan gas rumah hijau. Penggunaan teknologi hijau seperti lampu LED, alat elektrik berlabel tenaga cekap (Energy Star), dan sistem penyejukan mesra alam boleh mengurangkan pembaziran tenaga. Kerajaan perlu menguatkuasakan piawaian ketat bagi kilang dan bangunan untuk memastikan mereka mematuhi amalan penggunaan tenaga optimum. Sebagai contoh, program “Green Building Index” (GBI) di Malaysia menggalakkan pembinaan bangunan yang mengutamakan pengudaraan semula jadi dan penjimatan elektrik. Dengan ini, pelepasan gas rumah hijau dari sektor tenaga dapat dikurangkan secara signifikan.  

3. Pemeliharaan dan Penanaman Semula Hutan  

Pemeliharaan hutan sedia ada dan penanaman semula kawasan terbiar juga merupakan langkah kritikal mangurangkan gas rumah hijau. Hal ini dikatakan demikian kerana, hutan berfungsi sebagai “paru-paru bumi” yang menyerap CO₂ dan menghasilkan oksigen. Oleh itu, Malaysia sebagai salah sebuah negara dengan hutan hujan tertua di dunia, perlu memperketat undang-undang pembalakan haram dan menggalakkan inisiatif penanaman semula seperti Kempen Penanaman 100 Juta Pokok. Program ini bukan sahaja memulihkan ekosistem tetapi juga meningkatkan penyerapan karbon. Masyarakat juga boleh terlibat dengan menanam pokok di kawasan kediaman atau menyertai aktiviti sukarelawan penghijauan. Langkah ini secara langsung mengimbangi pelepasan gas rumah hijau yang terhasil daripada aktiviti manusia.  

Hutan Simpan Royal Belum - Rizab Karbon Utama Malaysia
Hutan Simpan Royal Belum - Rizab Karbon Utama Malaysia.

4. Menggalakkan Pengangkutan Lestari  

Pengangkutan lestari juga memainkan peranan penting dalam mengurangkan pembebasan gas rumah hijau. Dalam hal ini, sektor pengangkutan menyumbang 20 peratus pelepasan gas rumah hijau global, terutamanya melalui kenderaan berenjin petrol. Oleh itu, kerajaan perlu memperluas rangkaian pengangkutan awam seperti MRT, LRT, dan bas elektrik untuk mengurangkan kesesakan dan pelepasan asap kenderaan. Di samping itu, insentif pembelian kereta elektrik (EV) seperti pengecualian cukai dan pembinaan lebih banyak stesen pengecasan boleh menggalakkan rakyat beralih kepada kenderaan hijau. Penggunaan basikal dan perkongsian kenderaan (carpool) juga perlu dipromosikan sebagai budaya baharu dalam kalangan masyarakat bandar.  

5. Pendidikan dan Kesedaran Awam  

Di samping itu, pendidikan dan kesedaran awam tentang kepentingan mengurangkan gas rumah hijau perlu dipergiat. Kempen media massa seperti “Malaysia Hijau” dan integrasi topik perubahan iklim dalam kurikulum sekolah boleh membentuk minda masyarakat yang lebih bertanggungjawab. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) boleh memperkenalkan modul khas tentang amalan kitar semula, penjimatan tenaga, dan kesan gas rumah hijau kepada pelajar dari peringkat awal. Selain itu, penggunaan media sosial untuk menyebar maklumat tentang jejak karbon (carbon footprint) juga dapat menarik minit generasi muda. Pelbagai webinar percuma kesan gas rumah hijau juga boleh dilaksanakan seperti webinar  percuma  bersama pakar alam sekitar, Prof. Dr. Azizan Abu Samah dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang telah menarik minat lebih 10,000 peserta untuk memahami langkah praktikal mengurangkan jejak karbon. Kesedaran ini akan mendorong perubahan tingkah laku harian, seperti mengurangkan penggunaan plastik dan mematikan peralatan elektrik yang tidak digunakan.  

Penutup Karangan  Langkah Mengurangkan Gas Rumah Hijau

Kesimpulannya, pelbagai langkah boleh dilaksanakan untuk mengurangkan gas rumah hijau di negara kita. Kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta, dan masyarakat amat diperlukan bagi memastikan kelestarian alam. Kerajaan perlu memperkukuh polisi sedia ada seperti Dasar Perubahan Iklim Negara dan Pelan Hala Tuju Hijau Malaysia (2021-2030). Pihak berwajib seperti Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) harus menjalankan pemantauan lebih ketat terhadap industri pencemar. Masyarakat pula perlu peka dengan mengamalkan gaya hidup hijau dan melaporkan aktiviti merosakkan alam. Dengan komitmen semua pihak, impak gas rumah hijau dapat dikurangkan, sekaligus menjamin masa depan bumi yang lebih selamat untuk generasi mendatang. Semoga langkah-langkah ini membuahkan hasil sebagaimana yang diharapkan.